Setiap insan yang dilahirkan di dunia ibarat kain putih tanpa sebarang kekotoran. Ini bermakna, peribadi seseorang bergantung pada pendidikannya selepas dia dilahirkan. Peribadi yang baik, sempurna dan unggul adalah hasil daripada pendidikan yang baik dan sempurna.
Peribadi yang baik perlu dipelajari dan diamalkan. Memiliki ilmu yang membina peribadi yang bersopan santun ini berlaku sama seperti proses kanak-kanak memperoleh ilmu mengguna bahasa. Malah, didikan peribadi ini mempunyai kaitan yang paling rapat dengan bahasa, sehingga tercipta perumpamaan ‘bahasa menunjukkan bangsa’ dan ‘bahasa jiwa bangsa’. Ungkapan ini bermakna, bahasa mencerminkan peribadi dan cara hidup suatu bangsa.

Asas utama pembentukan peribadi bermula di rumah. Pembentukan peribadi bermula daripada pembinaan sikap hormat menghormati serta perlakuan dan kesopanan dalam keluarga. Asuhan ini diperluaskan dan diperkukuhkan dalam pergaulan di sekolah, di tempat permainan, di rumah jiran, di kedai dan di majlis-majlis rasmi ataupun tidak rasmi sehingga ke mana sahaja kita berada termasuk di dalam tandas, di meja makan, di tempat awam dan di dalam kenderaan awam.

Ungkapan asas yang kita gunakan menjadi penanda yang kita mempunyai peribadi yang baik. Antara ungkapan itu adalah ‘Bolehkah’ yang digunakan bagi meminta pertolongan ataupun mengarah.

  1. “Minta maaf kerana mengganggu” bagi mendapatkan kebenaran membuat gangguan. Ini penting dalam situasi tertentu seperti dalam mesyuarat, semasa orang sedang bercakap dan lain-lain.
  2. “Terima kasih” apabila menerima budi.
  3. “Boleh izinkan saya” apabila meminta kebenaran.
  4. “Tolong” untuk menyuruh ataupun memerintah orang lain membuat sesuatu.
  5. “Maafkan saya” apabila tersilap, tersalah ataupun terkasar.

Bagi menjadikan ungkapan itu lebih sempurna, gabungkan ungkapan itu dengan nama orang yang terlibat. Contohnya:

  1. “Abang! Boleh tolong adik ambilkan kuih?”
  2. “Adik! Boleh tolong kakak hulurkan cawan itu?”
  3. “Terima kasih pak cik, atas pertolongan yang pak cik berikan.”
  4. “Minta maaf semua, saya hendak sampaikan satu pengumuman.”
  5. “Minta maaf ayah, sebab lambat pulang tadi.”
  6. “Nenek! Bolehkah saya ikut balik kampung?”
  7. “Maafkan saya Ahmad, sebab tertolak bangku anda tadi.”
  8. “Maafkan saya ibu, sebab tidak sempat mengemas buku-buku di meja.”
  9. “Terima kasih pak cik, kerana membenarkan saya menumpang kereta semalam.”
  10. “Maafkan saya encik, saya rasa ini beg encik, bukan?”
  11. “Maafkan saya. Saya rasa ini tempat duduk saya.”
  12. “Maafkan saya, kereta ayah awak sudah sampai.”

Sekiranya kita tidak dapat membalas budi, belajarlah mengenang budi supaya menjadi orang yang berbudi.

Resensi Buku : “MENJADI PENGURUS DIRI EFEKTIF” diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn Bhd..
http://www.reaktif.com